Maha Suci Allah...

Pages

Saturday 18 February 2012

Hakikat Cinta




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Cinta adalah sebahagian dari fitrah. Orang yang kehilangan cinta dia tidak normal tetapi banyak juga orang yang menderita kerana cinta. Bersyukurlah orang-orang yang diberi cinta dan mampu menyikapi rasa cinta dengan tepat.



Hikam:
"Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia dan disisi Allah tempat kembali yang baik." 
(Al-Qur`an: Al-Imran ayat 14)

"Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli." 
(HR. Abu Daud dan Ahmad)


Cinta memang sudah ada di dalam diri kita, diantaranya terhadap lawan jenis. Tapi kalau tidak hati-hati cinta boleh menulikan dan membutakan kita. Cinta yang paling tinggi adalah cinta kerana Allah. Cirinya adalah orang yang tidak memaksakan kehendaknya. Tapi ada juga cinta yang menjadi cubaan buat kita iaitu cinta yang lebih cenderung kepada maksiat. Cinta yang semakin bergelora hawa nafsu, makin berkurang rasa malu. Dan, inilah yang paling berbahaya dari cinta yang tidak terkendali.

Islam tidak melarang atau mengekang manusia dari rasa cinta tapi mengarahkan cinta tetap pada rel atau landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun laki-laki.

Kalau kita jatuh cinta harus hati-hati kerana seperti meminum air laut, semakin diminum semakin haus.

Cinta yang sejati adalah cinta yang setelah akad nikah, selebihnya adalah cubaan dan fitnah saja.

Cara untuk mampu mengendalikan rasa cinta adalah menjaga pandangan. Jangan berkhalwat berdua-duaan, jangan dekati zina dalam bentuk apapun dan jangan saling bersentuhan. Bagi orang tua yang membolehkan anaknya berpacaran, harus siap-siap menanggung risiko. 









Marilah kita mengalihkan rasa cinta kita kepada Allah dengan memperbanyak selawat, zikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdaya oleh nafsu, kerana nafsu yang akan memperdayakan kita. Sepertinya cinta padahal nafsu belaka. 

Pernah seorang sahabat bertanya, bagaimanakah kita cinta seseorang itu kerana Allah? Pada pandangan saya cinta kepada seseorang itu kerana Allah adalah cinta yang didasari cinta yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Yang mengikut lunas-lunas yang disyariatkan Allah kepada kita. Yang menyerahkan segalanya kepada Allah kerana Allah jualah yang Maha Mengatur seluruh hidup kita. Redha dengan apa jua keadaan yang dilaluinya kerana yang menggalakkan dan menambahkan rasa cintanya kepada Allah. 




Dalam sebuah sabda Rasulullah SAW, tersebut: Tujuh orang yang akan dinaungi Allah di bawah naunganNYA, pada hari tiada naungan selain naunganNYA. Baginda telah menyebut satu persatu orang-orang itu, sehingga katanya:

“Dan dua orang saling cinta mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah”

~Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan bermesra dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'la~

(Petikan dan rujukan: Nasihat Agama Dan Wasiat Iman)

Semoga ini dapat sama-sama kita renungkan dengan pandangan mata hati.. Sekadar berkongsi ilmu dan pendapat..sebagai ingatan untuk diri saya sendiri juga untuk kita.. Semoga Allah yang Maha Menatap lagi Maha Mengetahui membantu kita meluruskan setiap niat kita.. Mohon maaf dari saya seandainya sepanjang butiran huruf-huruf ini tercatit di sini, ada yang menyinggung hati dan perasaan sesiapa. Setiap yang kurang dan lemah itu dari diri saya sendiri, mana yang baik itu hanya dari Allah yang Maha Suci jauh dari segala sifat kekurangan dan lemah. 



Salam kasih untuk semua.. :)




Nur Cahaya Hidayah Allah.



Photobucket


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

"Hidayah adalah suatu hadiah dari Allah yang tidak terhingga nikmatnya pada seseorang hamba Allah. Maha Suci Allah yang Maha Pengurnia bagi setiap kehidupan ini. Tidak dapat aku gambarkan bagaimana betapa nikmatnya hidayah yang Allah kurniakan pada diri yang pada saat hati ini benar-benar memerlukan pertolongan dan petunjuk."
"Walau pelbagai ujian, dugaan, situasi yang aku hadapi..lalui, namun hati aku tetap merasakan ketenangan dan kelapangan. Semua yang Allah bagi aku merasakan ia suatu nikmat yang tak mungkin aku boleh dapat dari mana-mana kecuali hanya dari Allah."  
"Bahagia..tenang..asyik.. Aku tidak tahu bagaimana harus kugambarkan semua nikmat yang dapat aku rasakan kini. Tapi inilah yang aku lalui dan aku rasai setelah mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah. Sungguh!  Aku merasa bahagia dan suatu nikmat yang tidak dapat kujelaskan, hanya Allah sahaja Maha Tahu apa yang kurasakan dalam lubuk hatiku yang paling dalam.”

Hidayah itu perlu dicari. Walaupun hidayah itu hak milik Allah dan sesiapa sahaja Allah boleh kurniakan hidayahNYA kepada hamba-hambaNYA, namun kita perlu juga berusaha. Cuba kita renungkan sejenak jauh ke dalam sudut hati kita. Pastinya ada satu detik hati dalam hati kita yang menyatakan kebaikan dan mengakui kebaikan yang membawa kepada kebahagian hati, ketenangan dan kelapangan hati. Namun kadang-kadang kita tak perasan, atau tak hirau, atau tak tau, atau buat-buat tak tau atau leka dengan keasyikan dunia. Mohon maaf jika kata-kata saya ini ada yang menyinggung hati dan perasaan sesiapa yang membacanya. Namun, diri ini cuba membawa fikiran kita kembali menjenguk jauh ke dalam sudut hati kita yang lama terbiar tanpa bertanya khabar beritanya. Sihatkah ia? Gembirakah ia? Tenangkah ia? Bahagiakah ia?

Mohon maaf sekiranya diri ini membawa pemikiran kita ke suatu situasi….


~ Seseorang sedang leka melakukan suatu aktiviti di waktu petang. Apabila tiba waktu maghrib, kedengaran bunyi azan berkumandang di masjid, radio, atau tv atau surau berdekatan. Hati akan terdetik, “waktu solat maghrib dah tiba, sebagai seorang Islam, aku wajib solat” .

Namun, dek kerana hal atau urusan dunianya itu belum selesai, atau masih asyik dengan urusan itu, maka… hati pun berkata…. 

“Hurm..keje banyak lagi nak buat ni, jap lagi la..”
 “Ah…sekejaplah..sikiiittt je lagi, lepas ni aku solatlah..”
 “Ah..takpe, hari ni je, lain kali tak buat lagi..”
“Ah..ada masa lagi ni, bukan selalu. Bukan senang aku nak dapat peluang ni..”
“Ah..takpe, aku muda lagi, dah tua nanti aku taubatlah..”


Bukankah itu Allah sedang mengingatkan kita? Bukankah itu Allah memanggil kita?? SOMBONGNYA KITA... Bagaimanakah jika pada masa itu juga Allah telah mentakdirkan nyawa kita untuk dicabut?? Jika Allah mencabut nyawa kita pada masa itu, sempatkah kita bertaubat dan mohon ampun pada Allah?? Bukankah itu Allah beritahu kita..ikutlah jalan lurus itu..?? Bukankah jalan lurus itu yang kita cari?? Kebahagiaan dan ketenangn macam mana lagi yang kita cari? Apakah hati kita benar-benar sudah bahagia tanpa kita mengingati Allah tuhan yang Maha Mencipta dan Maha Menghidupkan kita? Bukankah hati itu hanya akan tenang bila kita dekat dengan Allah? Apakah ada yang lain boleh bahagiakan hati kita, yang kekal abadi?? Allahu akbar.. ampunilah dosa-dosa hambamu ini ya Allah.. HambaMu ini sentiasa lupa dan tidak mengendahkan diriMu. Kotornya diriku ya Allah.. Hinanya diriku.. Astaghfirullah al'adzim.. Maha Suci Engkau wahai yang Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Pernah dulu ibu memberitahu.. "Solatlah..kerana solat itu dapat menghindarkan atau menjauhkan diri kita dari perkara-perkara yang tidak baik.. dari perkara-perkara yang mungkar..dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan maksiat..perkara-perkara yang sering mengajak kita melakukan keburukan.." Pada masa itu diri ini berfikir.... 'Aku dah solat tapi kenapa aku rasa biasa-biasa aje? Kenapa aku masih melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperti suka marah, tidak mendengar nasihat orang tua, asyik ada masalah, berselisih faham dengan kawan-kawan yang lain.. Asyik itu..asyik ini..dan macam-macam lagi halnya. Kebanyakannya menyebabkan aku rasa tidak tenang dan seperti ada yang tidak cukup dalam hidup aku. Jadi macam mana solat ni boleh menyebabkan aku dapat elak dari semua tu dan jadi orang yang baik?' Pelbagai persoalan dan ketidakpastian dalam benakku pada masa itu.


Masa itu umur masih remaja, masih tidak nampak apa yang orang tua maksudkan, fikirkan dan perkatakan. Namun kini..aku sangat bersyukur, kerana apa yang ibuku pernah katakan padaku suatu waktu dulu, dapat kurasakan. Permulaannya adalah..solat yang cukup lima waktu kemudian disertai solat yang khusyuk hasil dari air wudhuk yang sempurna, maka dengan izin Allah..terbitlah hati yang sangat tenang..lapang dan bahagia walau apa jua situasi yang dihadapi. Subhanallah. Maha Suci Allah yang Maha Menggenggam setiap jiwa. Hati yang sentiasa berbolak-balik. Engkau yang membolak-balikkan hati ini ya Allah.. Hanya pada Allah ku bermohon agar sentiasa ditetapkan hati, istiqomah, memegang tali Allah dan mengikut jalan yang telah Allah tunjuk melalui nur cahaya yang dikurniakan Allah untuk aku melaluinya.

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya hati manusia ada di antara dua jari-jari Allah. Allah membolak-balikkannya sesuai dengan kehendakNYA"

Bila hati sudah bersih, maka akan mudahlah kita nampak jalan-jalan kebaikan, dan Allah akan sentiasa melorongkan kita pada jalan-jalan menuju pada nur cahaya Ilahi. Hati akan rasa senang menerima ilmu agama, akan sentiasa tertarik untuk mencari dan menambah imu agama untuk lebih dekat lagi pada Allah. Magnet kebaikan akan menarik segala kebaikan kepada diri kita. Sahabat-sahabat yang baik, ilmu-ilmu Allah yang baik, alim ulama, perbuatan dan pemikiran yang baik, kehidupan yang lebih baik, dan semuanya yang baik-baik akan datang pada kita insyaAllah. Kerana ALLAH telah berjanji pada kita; selangkah kita menuju pada Allah, maka seribu langkah Allah mendekati kita. Betapa cintanya Allah pada hamba-hambaNYA yang membuka hati mencari jalan untuk sentiasa dekat padaNYA. Maha Suci Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Firman Allah Ta'ala:

"Bertaqwalah (patuhlah) kamu kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan."
(Al-Baqarah: 194)

Firman Allah Ta'ala:

"Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan Dia akan mengajar kamu."
(Al-Baqarah: 282)

Firman Allah Ta'ala:

"Hai orang-orang yang beriman! Kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membeza (antara yang benar dengan yang salah) dan dihapuskanNyalah kesalah-kesalahan kamu serta mengampuni kamu, dan Allah mempunyai kelebihan yang besar."
(Al-Anfal: 29)

Firman Allah Ta'ala:

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mematuhi segala perintahNya dan menjauhi laranganNya) niscaya Allah akan mendorongkan baginya jalan keluar (dari kesulitan), dan Dia (Allah) akan memberikan rezeki kepadanya dari (sumber) yang tiada diduga."
(Ath-Thalaq: 2-3)



Kebahagian, kegembiraan, kelazatan, keseronokan, kenikmatan yang ada di dunia ini semuanya bersifat sementara. Dan semua yang lazat, sedap, seronok di dunia ini hanyalah bersifat sementara.


Mari kita semak dan buktikan..
Sebagai contoh..  ~Makan  aiskrim itu sedap, lazat,… bagi penggemar aiskrim, tapi bila sudah habis, apakah masih lagi terasa sedap dan lazat? Jika berlebihan pula bukankah ia akan mendatangkan penyakit? Maka hilang nikmat kelazatan makanan itu pada tubuh badan.

Firman Allah:

"Gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah"
(Az-Zumar: 23)

Firman Allah:

"Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk menerima Agama Islam, lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah"
(Az-Zumar: 22)


Carilah hidayah Allah itu. Peganglah dan kejarlah apa yang ada dalam detik hati kita, yang menyatakan kebaikan.  Jauh dalam sudut hati kita..jauh dalam lipatan hati yang terdalam.. Pasti, insyaAllah akan menemui jalannya. Pasti akan temui kebahagiaan, ketenangan, kelapangan dari dalam hati, yang hanya diri kita sahaja dapat merasai betapa nikmatnya rasa itu..insyaAllah. Sesungguhnya Allah sentiasa menunjukkan jalanNYA pada kita..Cuma kita yang mungkin tidak membaca hati kita, tidak perasan, atau buat-buat tak perasan, tidak tahu atau buat-buat tidak tau, tidak dengar atau buat-buat tidak dengar. Tanyalah balik hati kita, jenguklah hati kita. Mudah-mudahan Allah sentiasa tunjukkan kita dan pimpin kita ke jalanNYA yang lurus. Amin ya Rabb.. Mohon maaf dari saya. Wallahu’alam.







~pandanglah setiap orang dan setiap sesuatu di hadapan kita sebagai cermin diri kita..maka di situ.. kita akan dapat lihat bagaimana diri kita. dan..bagaimana kotor dan hinanya diri kita di hadapan Allah. Maha Suci Allah yg Maha Mengampuni setiap hamba-hambaNYA~